-PenTeman-

Assalammualaikum...

oleh Rafizi Ramli


10 Februari, 2011, 04:02 pm | kategori Esei

“Buku Jingga” Pakatan Rakyat (PR) kini menjadi tumpuan perdebatan sejak dilancarkan pada Disember tahun lalu. Ironiknya, reaksi balas kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) terhadap buku ini telah menaikkan popularitinya dalam masa singkat, tidak terkecuali ketika Perdana Menteri sendiri berjanji akan mengemukakan sat

u demi satu hujah bagi menjawab senarai perubahan yang digariskan. Ketika negara sedang menanti hujah balas dari Perdana Menteri (sama ada dalam bentuk artikel bercetak atau menerusi debat secara langsung dengan Ketua Pembangkang), Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin telah menyediakan asas perbahasan berkaitan isi “Buku Jingga” PR.

Saya wajar memuji usaha beliau ini walaupun beliau sekadar memberikan ulasan ke atas tiga perkara daripada 10 perkara yang dibentangkan. Tidak ada sebarang respon tentang komitmen untuk mengembalikan kebebasan dan integriti institusi-institusi nasional yang penting seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara. Juga tiada langsung ulasan terhadap janji Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya faham mengapa beliau mendiamkan diri berkaitan komitmen PR untuk menjadikan air sebagai aset awam kepada rakyat dan jaminan perkhidmatan wi-fi percuma di semua kawasan bandar dan separa bandar; ini kerana negeri-negeri di bawah PR telah pun berusaha melaksanakannya semenjak mengambil alih tampuk pentadbiran. Walau bagaimanapun, beliau sekurang-kurangnya wajar berkongsi pandangan dengan rakyat mengapa beliau menganggap adalah sesuatu yang mustahil untuk menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyelesaikan permasalahan pendatang asing dan kewarganegaraan di Sabah; atau apa yang menghalang kerajaan BN daripada menaikkan kadar royalti ke atas penapisan karbon hidro kepada 20 peratus untuk kerajaan negeri?

Dengan mengabaikan tanggapan peribadi terhadap respon beliau yang tidak sempurna, saya dengan ini akan membentangkan hujah-hujah PR berkaitan isu penting yang dibangkitkan oleh beliau.

Buku jingga yang didakwa konservatif oleh pihak Kerajaan

Khairy mempersoalkan ketepatan nilai anggaran RM28 bilion dana awam yang lesap akibat ketirisan, rasuah dan pengurusan perolehan yang teruk dengan hujah bahawa ianya tidak disebut secara terperinci di dalam Laporan Ketua Audit Negara. Beliau mesti memahami tentang audit serta bagaimana proses audit dilaksanakan. Sebagai seorang akauntan bertauliah dan juga sebagai juruaudit, saya mesti menerangkan kepada khalayak bahawa proses audit dilaksanakan berdasarkan sampling. Kami menguji sampel-sampel transaksi bagi menilai dan memahami kedudukan kewangan dan operasi.

Nilai RM28 bilion mungkin tidak dilaporkan secara terbuka di dalam Laporan Ketua Audit Negara, namun keputusan laporan audit tersebut jelas menunjukkan wujud ketirisan melibatkan pembelian pada kadar harga melampau dan pembaziran dalam perolehan barangan individu; juga kerugian disebabkan oleh kelemahan pengurusan yang dikesan semasa proses audit.

Seseorang hanya perlu membaca dengan teliti suku daripada Laporan Ketua Audit Negara untuk memahami had ketirisan tersebut. Biar saya bentangkan beberapa contoh.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008, telah didedahkan bahawa kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan mencecah RM1.14 bilion kerana ketidakcekapan pengurusan dalam projek landasan keretapi berkembar Rawang-Ipoh. Sebanyak RM500 juta wang pembayar cukai juga telah digunakan bagi menampung kerugian pelaburan kerajaan di dalam syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat iaitu Columbia Aircraft Manufacturing Corp.

Kita juga tidak harus lupa insiden mengejutkan ketika mana didapati wang pembayar cukai digunakan untuk membeli sebuah komputer riba pada harga RM42,320 seunit; barangkali yang termahal di dunia. Kita juga terkejut sebaik mengetahui bahawa jabatan-jabatan kerajaan membayar sebanyak RM262,256 bagi menampung kos penyelenggaraan sebuah Proton Perdana untuk tempoh empat tahun sedangkan nilai anggaran pasaran hanya RM15,000.

Terasa seperti baru semalam Ketua Audit Negara menegur Kementerian Belia dan Sukan kerana pembelian tidak masuk akal termasuklah set alat pemutar skru pada harga RM224 seunit, satu jek kereta pada harga RM5,700 atau seunit kamera digital pada harga RM8,254 — sedangkan harga pasaran bagi seunit pada RM40, RM50 dan RM2,990 barangan tersebut hanyalah .

Khairy boleh mempersoal dari aspek teknikal bahawa ketirisan sebanyak RM28 bilion tidak pernah dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara, tetapi hujah beliau sebetulnya tersasar dari konteks realiti sebenar. Bebanan dan ketirisan melampau akibat pengurusan yang tidak cekap dan sikap sambil lewa BN dalam memerangi rasuah adalah satu kenyataan.

Contoh-contoh yang dipetik dari Laporan Ketua Audit Negara saban tahun mencerminkan kedudukan kewangan kerajaan secara keseluruhan. Sikap tidak berdisiplin dalam pengurusan kewangan serta tiadanya iltizam politik untuk menerapkan tadbir urus yang baik menyebabkan perbelanjaan kerajaan pada setiap tahun melampaui peruntukan yang diluluskan di dalam belanjawan tahunan.

Sebagai contoh di dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 yang dikeluarkan pada Jun 2010 (laporan terkini). Dalam tahun 2009, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM4.83 bilion melampaui dari apa yang diluluskan di dalam belanjawan pengurusannya. Apa yang paling membimbangkan adalah amalan penyelewengan dalam pengurusan kewangan ini telah berlarutan sekian lama – di antara tahun 2005 hingga 2009; nilai kumulatif perbelanjaan kerajaan Persekutuan dalam operasi pengurusan mencecah RM19.41 bilion.

Dalam tempoh sama, perbelanjaan bagi tujuan pembangunan oleh kerajaan Persekutuan juga melampaui jumlah peruntukan yang diluluskan menerusi belanjawan untuk Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) sebanyak 34 peratus. 42 projek yang disenaraikan sebagai projek RMK9 telah melebihi had peruntukan belanjawan yang diluluskan iaitu sebanyak RM3.74 bilion; didahului oleh perolehan Kementerian Pertahanan yang dahulunya diketuai oleh Perdana Menteri.

Saya boleh mengemukakan banyak lagi contoh terutamanya nilai pinjaman yang dijamin atau diberikan kepada Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan; yang membentuk risiko serta liabiliti kewangan yang signifikan kepada kerajaan Persekutuan. Di penghujung tahun 2009, kerajaan Persekutuan telah menjamin nilai pinjaman keseluruhan berjumlah RM84 bilion kepada 20 GLC dan dua agensi kerajaan. Sekiranya Khairy menemui kesukaran untuk memahami semua ini, kita wajar menghimbau kembali isu jaminan pinjaman kepada Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membebankan kerajaan Persekutuan dengan hutang bernilai berbilion ringgit.

Atau beliau boleh melawat kampung halaman saya di Kemaman untuk bergelut dengan permasalahan dana awam yang dilenyapkan oleh Perwaja sepanjang beberapa tahun lalu. Setakat 31 Disember 2008, Perwaja memikul beban hutang sebanyak RM3 bilion yang mana ianya telah ditanggung oleh kerajaan Persekutuan. Perwaja bukan sekadar tidak mampu membayar hutang tersebut; bahkan turut tidak mampu menjelaskan bayaran pendahuluan sebanyak RM319 juta yang luput dalam tahun 2009 sehingga memaksa pinjaman tersebut distruktur semula dan tempoh pembayaran dipanjangkan. Inilah beberapa contoh ketidakcekapan pengurusan kewangan bila mana dana awam digunakan bagi membiayai syarikat-syarikat korporat. Dalam tahun 2009, 45.7 peratus daripada 70 pinjaman bernilai berbilion ringgit yang diberikan kepada syarikat korporat tidak mampu dibayar semula mengikut tempoh yang ditetapkan.

Saya menyenaraikan semua contoh ini yang dinyatakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk memberikan sedikit pemahaman tentang sejauh mana tahap ketirisan, perbelanjaan berlebihan, ketidakcekapan pengurusan kewangan dan rasuah yang makin membarah dalam negara ini. Angka-angka yang dipetik merupakan laporan audit asli yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Ketua Audit Negara. Angka-angka ini dengan sendirinya, tanpa perlu untuk saya tokok tambah dan membuat anggaran seperti yang didakwa oleh Khairy; telah pun mencecah jumlah berbilion ringgit pada setiap tahun.

Justeru, tindakan kami dalam menganggarkan bahawa kerajaan berpotensi untuk menjimatkan RM28 bilion sekiranya berjaya menangani ketirisan, ketidakcekapan pengurusan dan rasuah jelas berasas; ditambah pula dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi tempoh beberapa tahun. Malahan, ada juga pihak yang percaya anggaran tersebut bersifat konservatif.

Ketika PR mengambi lalih, dengan satu matlamat untuk mereformasikan politik dan ekonomi, masih wujud ruang untuk memulangkan semula RM28 bilion tersebut kepada rakyat dalam bentuk program yang digariskan di dalam “Buku Jingga”.

Saya mempunyai penjelasan panjang lebar yang didukung dengan fakta dan angka berkaitan tiga perkara yang dibangkitkan oleh Khairy tentang subsidi gas/IPP, GLC dan keupayaan untuk membayar elaun sebanyak RM500 kepada para guru; tetapi ianya akan dijelaskan menerusi tulisan dalam kolum akan datang.

Namun saya berharap agar “izin laluan” (seperti yang dirujuk dalam etika debat ketika mahu mencelah) yang dikemukakan ini memadai untuk memberi pencerahan kepada khalayak pembaca. Saya percaya akan ada banyak lagi perdebatan di dalam media (menerusi pelbagai penulisan) selepas ini memandangkan sahabat saya Khairy tidak memberikan sebarang maklumbalas terhadap cabaran debat dari saya, maka saya akan menyimpan hujah-hujah saya untuk dibahaskan pada masa akan datang!

Rafizi Ramli merupakan Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dan turut memegang jawatan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat.

Diterjemah oleh Najwan Halimi dari artikel berjudul “RM28 billion lost is real!” tulisan Rafizi Ramli yang diterbitkan dalam akhbar ekonomi The Edge pada 4 Februari 2011.



Melalui;

MUhammad SHAhimi aRIFFin (mushariff)
Universiti Selangor (UNISEL)

Comments (0)