-PenTeman-

KENYATAAN RASMI
AKSI Mahasiswa Peduli (AKSI)

Pendahuluan

Kami pimpinan AKSI Mahasiswa Peduli (AKSI) yang mewakili mahasiswa secara kolektif menempelak tindakan pihak pentadbiran yang dilihat sebagai tidak matang dan memalukan. Pada peringkat kami melalui perbahasan panjang mengenai isu ini, bukanlah perebutan kuasa diantara pentadbiran itu menjadi perhatian kami, tetapi apakah tindakan mereka ini mampu memberi kesan kepada Mahasiswa secara tidak langsung. Didapati bahawa isu ini jelas memberi kesan buruk kepada mahasiswa secara seluruhnya ini kerana jika dilihat secara teliti dari tahun 2009 sejak mula Dato’ Dr. Rosti Saruwono dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) perbalahan serta kepincangan ini sudah pun berlaku. Kesannya kemasukan mahasiswa baru merudum, kelicinan pentadbiran dan pengurusan lembab, pembangunan dan infrastruktur tidak terjaga, hal-hal akademik tidak diselia dengan baik, hak mahasiswa tidak dijamin, dan lain-lain.

Pendirian bersama

Demi menjamin kesejahteraan pentadbiran dan pengurusan, pimpinan AKSI Mahasiswa Peduli (AKSI) bersama Mahasiswa menunjukkan solidariti dengan berpendirian bahawa supaya pihak lembaga pengarah UNISEL tidak menyambung kontrak kelima-lima ahli jawatankuasa senat, mereka adalah, yang pertama, Dato’ Dr. Rosti Saruwono selaku Naib Canselor dimana beliau akan menamatkan kontrak pada bulan Mac 2012, manakala Prof. Dr. Hj. Anuar selaku Timbalan Naib Canselor Akademik, seterusnya Prof. Dr. Ir. Mohamad Daud selaku Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan Prof. Madya Zainal Abidin Kidam selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, yang mana ketiga-tiga mereka ini iaitu Timbalan Naib Canselor seperti yang dinyatakan diatas akan tamat kontrak pada bulan Disember 2011 juga digesa tidak akan disambungkan kontrak. Manakala kontrak Dato’ Hjh Latifah selaku Naib Presiden tidak akan disambung semula dan tamat pada 1 Ogos 2011 berikutan dengan keputusan arahan daripada Menteri Besar sendiri.

Tuntutan bersama

Selain itu juga kami pimpinan AKSI Mahasiswa Peduli (AKSI) bersama seluruh mahasiswa menyatakan pendirian dengan jelas 5 tuntutan, berikutan dengan perletakan jawatan Dato’ Dr. Rosti Saruwono selaku mantan Naib Canselor, butiran tuntutan seperti berikut;

>Mereformasikan pentadbiran UNISEL serta-merta dengan tidak menyambung kontrak kesemua ahli jawatan kuasa senat sekaligus meletakkan tanggungjawab kepincangan ini diatas bahu kerajaan negeri Selangor melalui Dr. Halimah Ali.

>Selain itu juga, keempat-empat mereka tidak dibenarkan memangku jawatan NC UNISEL, ini kerana mereka terlibat secara langsung dengan isu ini.

>Sepanjang tempoh menunggu tamat kontrak juga, keempat-empat mereka dipastikan untuk membersihkan nama dan imej unisel.

>Perlantikan ahli jawatan kuasa senat baru haruslah diputuskan oleh satu jawatankuasa khas yang tidak terus melalui exco yang berkaitan kerana dikhuatiri wujudnya kronisme selain itu juga, orang yang dilantik haruslah benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang tertentu.

>Untuk mengelakkan perkara ini dari terus berlaku, diharapkan pihak kerajaan negeri dapat menyediakan satu jaminan untuk memastikan kelima-lima orang yang bakal dilantik dapat menjalankan tugas bersama dan perkara yang sama tidak akan berlaku.

Makluman

Selain itu juga, untuk pengetahuan semua sebenarnya perbincangan telah pun dibuat bersama wakil Menteri Besar Selangor pada hari Isnin 1 Ogos 2011 pada jam 2.00 petang dan perjumpaan ini adalah bersama Cik Faekah binti Hj. Husin selaku setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor berikutan dengan isu ini, tetapi apa yang beliau katakan adalah beliau tidak sama sekali akan membuat temujanji dengan Menteri Besar dan merasakan isu ini bukan lah isu yang besar yang boleh membuatkan rakyat tidak menyokong pimpinan kerajaan Negeri Selangor pada pilihanraya akan datang. Kami menganggap bahawa dengan respon beliau sebegitu rupa, jelas pihak Menteri Besar langsung tidak berminat dengan rundingan serta seolah-olah member signal bahawa pintu riundingan telah pun ditutup.

Namun begitu, kami optimis untuk meneruskan langkah seterusnya iaitu menyatakan pendirian kami kepada media sekaligus dengan tegas menuntut kelima-lima tuntutan kami iniagar perkara ini tidak lagi berlaku pada masa mendatang.

Penutup

Harus jelas Mahasiswa punya hak untuk menyata pendirian mengenai masalah yang berkaitan universiti dimana mereka menuntut ilmu. Atas kapasiti kesedaran mahasiswa lah hari ini kami respon isu yang membarah ini. Kalau dibiarkan maka hal ini akan terus memusnahkan kesejahteraan kampus, sekaligus universiti yang kami cintai ini. Kami tidak mahu nasib-nasib mahasiswa/i yang lain terabai dek kerana kepincangan pentadbiran pihak pengurusan sekaligus “memperkosa” hak-hak kami sebagai mahasiswa yang sepatutnya terjamin dan dijamin oleh pihak universiti.

“Mahasiswa Mendepani Isu”

AKSI Mahasiswa Peduli (AKSI)

Comments (0)