-PenTeman-

Penulis : mushariff**
 
Kenyataan Hasutan Adam
Kenyataan aku ini mungkin dilihat tidak memihak kepada Adam Adli dan mungkin kenyataan aku ini juga bakal  mengundang perasaan yang tidak senang terhadap penyokong beliau. Tapi disebabkan oleh aku menjunjung kebebasan bersuara dan mereka juga begitu maka aku harap pendapat aku ini dihormati. Sekiranya pandangan aku ini tidak dipersetujui maka kalian bolehlah menulis apa-apa artikel untuk tidak bersetuju.
 
Pada hemat aku, tindakan segelintir pihak yang menuntut Adam Adli dibebaskan sekaligus mengecualikan beliau daripada tindakan undang-undang jelas bersifat defensif. Dengan darjah keyakinan 98% aku percaya sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah sekalipun akta yang bersabit ISA dan SOSMA tetap akan diteruskan cuma mungkin namanya berubah. Demi keADILan aku rasa patut sekiranya diheret kesemua pemimpin politik (tiada yang berkecuali) kemuka pengadilan agar proses keADILan dapat terlaksana tanpa ada apa-apa kepentingan.
Memberi kenyataan berbaur hasutan jelas merupakan satu kesalahan, aku kira Adam Adli lebih faham tentang perkara ini. Sekiranya Adam Adli dituntut untuk dibebaskan daripada tuduhan ini maka aku kira ia bukanlah satu keadilan yang tulen kerana perkara sebenar dalam isu ini adalah mengheret kesemua mereka yang pernah menghasut ke muka pengadilan. Dalam hal ini dapat dilihat bahawa pihak kerajaan melalui pihak polis berat sebelah apabila penahanan hanya dibuat terhadap Adam Adli tetapi tidak pula Zul Nordin dan pimpinan-pimpinan yang pro kepada UMNO/BN.
Dengan jelas aku tidak sependapat dengan kebanyakan mahasiswa/i diluar sana, aku tidak menuntut kepada pengecualian tindakan undang-undang terhadap Adam Adli, tetapi aku rasa adalah adil sekiranya kesemua mereka yang pernah terlibat dengan isu ini diheret bersama.
Saat ini dilihat parti oposisi aktif bersama dalam isu ini, aku bimbang sekiranya mereka hanya ingin membangkitkan isu tambahan disamping isu PRU13 dan merendahkan moral pihak kerajaan semata-mata, lantas menang kalah kes Adam ini tidaklah penting bagi mereka sebab yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. Fokus mereka hanya satu iaitu merendahkan moral Najib bukan perjuangan mahasiswa/i.
Aku percaya bahawa kebanyakan mahasiswa/i yang turun bersolidariti menuntut pembebasan Adam Adli tidak lain tidak bukan, untuk menuntut keadilan tetapi usahlah bersikap defensif kepada kesalahan yang nyata. Kalian mungkin lebih bijak. Diharapkan keberadaan kalian disana bersolidariti untuk menunjukkan bahawa mahasiswa/i bersatu hati menolak kekerasan dan ketidakadilan pihak polis semasa menjalankan tugas, bukan untuk menuntut supaya Adam Adli dibebaskan daripada pertuduhan. Kalau benar Adam Adli tidak bersalah apalah kiranya beliau dibicarakan.
Pendirian aku hanya satu iaitu heret kesemua mereka yang pernah terlibat dengan isu hasutan ke muka pengadilan.!!
**mushariff adalah MUhammad SHAhimi aRIFFin, merupakan graduan ISM Matematik dengan Statistik di Universiti Selangor (unisel)

Comments (0)