-PenTeman-

Penulis : mushariff**

Pesanan buat anak dan menantu!

Semua orang mempunyai ayah dan mak, samada nasib kita baik atau tidak kita tetap mempunyai ayah dan emak.  Alangkah beratnya tanggungjawab mak dan ayah membesarkan kita, usahkan mendewasakan dan menremajakan hatta proses awal lahirnya kita didunia dulu pon kita sudah terhutang budi yang teramatlah besar kepada mereka. Dari makan dan pakai sampailah disekolahkan, kita dipelihara dengan baik oleh mereka. Tidak sedikit pun diabai, walau terdapat rencah dan warna sepanjang perjalanan hidup dibesarkan aku rasa kita perlu akur sesungguhnya disebabkan rencah dan warna itulah, kita membesar, dewasa dan matang.

Ibu bapa bukan malaikat yang tidak pernah buat dosa, mereka masih juga manusia. Banyak lakukan khilaf dan dosa. Namun begitu penghormatan yang cukup tinggi harus diberi. Usah kau katakan ayah kau itu dan ini, walhal kau dibesar dan diberi pendidikan hasil jerih dan payah beliau. Usah kau pinggirkan ayah kau dengan alasan bangsat dan remeh itu walhal minum pakai kau dulu dia yang cari.

Berkira dan mengungkit terhadap ayah dan emak, langsung  bukan kerja mulia wahai anak. Menganggap emak kau orang gaji dengan menabur wang di akaun bank nya langsung tidak mengubah apa-apa selagi hati mereka kau guris, cakar dan toreh. Setiap tindakan kau yang mengguris menyebabkan mereka menitis air mata, kecewa dan sedih. Walau kau tetap dengan agenda bodoh dan bangsat menyakitkan hati mereka dengan beranggapan bahawa tindakan kau itu mampu bersikap  membalas dendam kepada mereka bagi aku kau silap, kerana diakhirat nanti kau juga yang diberi balasan yang cukup setimpal dengan setiap perbuatan kau yang mengguris.

Hubungan Suami/Isteri terhadap mertua

Setelah dewasa kau bernikah, menjadi isteri dan suami orang. Suka aku ingatkan bahawa ayah dan emak mertua setaraf dengan emak dan ayah kita. Derhaka kita kepada mertua maka derhaka juga lah kita kepada emak dan ayah kita. Ayah mertua usah dilayan macam anjing, kelak diakhirat kau dikeji dengan hina. Di dunia mungkin kedudukanmu mulia di akhirat belum tentu, suami/isterimu belum tentu dapat membantu, doa ibu bapa lah juga yang makbul. Kejayaan yang kau peroleh hari ini tidak bermaksud tuhan tidak melaknatmu, Cuma ianya masih berbaki kasih dan sayang emak dan ayah kepada mu.

Terkadang kita berasa sombong dengan apa yang kita ada, keluarga, suami/isteri, kerjaya, kemewahan, dsb. Tapi jangan kita lupa bahawa Allah juga pemilik mutlak segala itu. Dengan mudah allah mampu menarik semuanya dengan sekelip mata. Dari hari ke sehari Allah sentiasa memberi ruang dan peluang. Usah persiakan, usah terlambat. Jadi menantu biarlah sopan dan beretika. Usah bersikap jarang dan biadap. Tiada sesiapa memaksamu berkahwin dengan anaknya. Malah kau sendiri yang memilih. 

Jadi kau juga memilih siapa mak dan ayah mertuamu. Sejahat manapun, sejahil manapun emak dan ayah mertuamu mereka wajib dilayan baik kerana setiap tindakan zalim dan keji mereka hanya Allah yang boleh menghakiminya. Usah kau perasan jadi hakim untuk menghakimi mereka. Pada kau mereka mungkin mendesak, memaksa dan kuku besi. Apa boleh buat seperti kata aku tadi itu jugalah pilihan kau tidak dipaksa dan tiada yang memaksa. Usah kau sangka bahawa hidup kau sudah lengkap dengan mengenepikan mertuamu.

Kesimpulan

Nasihat ini aku panjangkan kepada diri ini yang sentiasa kurang dan lemah. Manusia yang lemah dan sentiasa dirasuk dengan nafsu yang bergelora diadun dengan emosi yang melampau. Doa aku agar sentiasa jiwa dan rohani ini di lindungi dengan iman dan godaan syaitan. Alhamdulillah aku dikurniakan ayah, mak, babah dan mama yang sangat baik dan memahami setiap perkara yang aku dan isteri lalui. Diharapkan Allah mendengar luahan hatiku dan sampaikanlah juga pesanan ini kepada mereka-mereka yang sudah terlanjur mengguriskan hati emak ayah dan mertua mereka agar ini menjadi peringatan kepada mereka juga. InsyaAllah.

**Penulis merupakan calon sarjana sains matematik yang sedang mengikuti pengajian di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam.

Comments (0)